Status Terkini : Baik Pulih Jalan Runtuh Felda Aring - Tasik Kenyir
KUALA TERENGGANU, 10 Februari- Seramai 16 usahawan Terengganu berjaya mencatat kejayaan memberangsangkan melalui penyertaan di Terengganu Showcase 2025 yang berlangsung di Mesra Mall, Kemaman, dengan jumlah jualan keseluruhan sekitar RM100,000.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha usahawan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) tempatan mengetengahkan produk berkualiti yang memenuhi permintaan penduduk setempat.
“Prestasi ini jelas membuktikan bahawa produk keluaran IKS kita mempunyai permintaan ramai.
"Malah Terengganu Showcase juga berupaya menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk-produk anak tempatan yang berkualiti tinggi, inovatif, dan berdaya saing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Rempah Cap Bunga Rose dan Kilang Kopi Amiexa bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, program anjuran YPU yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam itu menampilkan pelbagai barangan dipamerkan peserta dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Antara barang yang menjadi pilihan pengunjung termasuk batik, songket, sutera, keropok, ketupat palas, rempah ratus dan pelbagai makanan tradisonal Terengganu,” katanya.
Justeru Ariffin berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada usahawan tempatan agar mereka dapat manfaatkan peluang untuk terokai pasaran yang lebih luas.