• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Terengganu Siap Siaga Hadapi Risiko Banjir

HULU TERENGGANU, 13 November - Kerajaan negeri sudah bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Terengganu.

Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata persediaan itu termasuk dari segi logistik, pengoperasian bilik gerakan, bekalan makanan dan pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir yang terlibat.

"Memang kami telah bersedia sejak dari bulan Ogos lagi dengan pelbagai latihan yang diadakan oleh agensi-agensi yang terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk masyarakat tempatan.

"Lebih kurang 10 peratus di antara pusat pengundian yang berpotensi untuk dijadikan pusat penempatan banjir dikenalpasti, juga telah bersiap sedia walaupun sebenarnya sebagaimana yang saya sebut sebelum ini tidak sesuai diadakan PRU pada musim begini kerana akan menyusahkan rakyat, tetapi dah berlaku juga, kerajaan kena hadap je lah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Minum Petang Masyarakat Setempat di Kampung Buluh, di sini, semalam.

Tambahnya, semua aset ada cara pengendalian tersendiri sekiranya berlaku banjir terutama di kawasan-kawasan kritikal dan itu adalah perkara yang dilihat di peringkat awal lagi oleh semua agensi dalam membuat persiapan masing-masing.

Menurutnya lagi, pihak anggota amal juga sentiasa bersedia 24 jam dari semasa ke semasa di seluruh daerah di negeri ini sekiranya diperlukan.

"Mereka ini hanya menunggu panggilan je sekiranya perlu untuk  berada di tempat-tempat tertentu untuk membantu masyarakat berpindah dan menyediakan kelengkapan yang sepatutnya," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan akan meningkat kepada 90 peratus pada waktu pagi, petang dan malam pada minggu ketiga iaitu minggu pengundian.

“Tetapi bila kita kata ramalan, ia masih ramalan lah tapi saya percaya masyarakat samaada pengundi atau bukan pengundi, mereka ini akan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.