• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Sumbang RM100 Ribu Bantu Perantau Mangsa Banjir

KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Kerajaan Terengganu menyumbang sebanyak RM100,000 bagi membantu meringankan beban anak-anak negeri berkenaan di perantauan yang ditimpa bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, musibah yang berlaku pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini menjejaskan banyak pihak dari segi kerugian dan kehilangan harta mahupun nyawa.

"Musibah yang berlaku sangat luar biasa terutama bagi penduduk di Selangor yang boleh dikatakan tidak pernah mengalami situasi begitu hebat sebagaimana dihadapi baru-baru ini.

"Sebagai satu tanda kebersamaan khususnya kepada rakyat di Terengganu di perantauan kerajaan negeri bersetuju memberikan sumbangan kepada anak-anak negeri terlibat.

"Kita menyerahkan bantuan ini kepada Persatuan Anak-anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) yang menjadi persatuan induk untuk menguruskan pembahagian pertamanya mengenal pasti mereka yang terlibat dalam musibah ini seterusnya mengagihkan bantuan kepada mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam majlis ringkas penyampaian sumbangan tersebut kepada wakil PERANTAU, Muhamad Hafizullah Muda di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan Terengganu Inc, Roslan Mamat dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abd. Razak.

Wan Sukairi turut merakamkan rasa terima kasih kepada syarikat Terengganu Inc yang sudi memberikan sumbangan mereka kepada mangsa-mangsa banjir itu.

"Kita sedia maklum, kerajaan Malaysia juga telah memberikan sejumlah sumbangan yang agak besar kepada yang mangsa-mangsa banjir mengikut keadaan mereka sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan tahun baharunya, baru-baru ini.

"Jadi, apa yang diberikan kerajaan negeri adalah tanda keprihatinan kita dan tambahan di atas apa yang diberikan kerajaan Persekutuan.

"Di peringkat negeri, ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melalui Pusat Khidmat DUN masing-masing juga ada mengenal pasti rakyat kawasan mereka yang terlibat banjir tersebut untuk disantuni," katanya.


 


Tag: