• 23 Jun 2021 | 13 Zulkaedah 1442

Terengganu Taja 12 Pelajar Lanjut Pengajian Di Jordan

KUALA TERENGGANU, 26 November - Seramai 12 pelajar mendapat penajaan Yayasan Terengganu (YT) berjumlah RM8.4 juta untuk melanjutkan pengajian di Jordan. 

Pengarah YT, Ishamudin Hashim memaklumkan, sembilan pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan dua dalam bidang pergigian di Jordan Universiti Of Science Teknologi (JUST).

Jelasnya, seorang lagi pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Jordan. 

"Sembilan pelajar dalam bidang perubatan akan mengikuti pengajian enam tahun, dua lagi pelajar dalam bidang pergigian akan menamatkan tempoh pengajian dalam tempoh lima tahun, manakala pelajar dalam bidang perbankan Islam selama empat tahun," ujarnya.

Ishamudin berkata demikian pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT, Dr Hashim Azmi Che Noh. 

Tambah Ishamudin, kesemua pelajar berkenaan sudah berlepas ke Jordan Selasa lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penghantaran 12 pelajar ke Jordan adalah sebahagian penajaan di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang peringkat persediaan serta ijazah pertama dalam dan luar negara yang diperuntukkan kerajaan negeri sebanyak RM10 juta tahun ini. 

"Tahun lalu, YT menaja seramai 13 pelajar ke Jordan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan, Perbankan Islam dan Pengajian Islam.

"Tiga lagi pelajar mendapat penajaan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pergigian di Mesir dan semua pelajar itu kini berada di tahun kedua," jelasnya.