KUALA TERENGGANU, 23 April – Terengganu merekodkan pelaburan berjumlah RM11.12 bilion dalam tempoh tiga tahun, dengan 2025 muncul sebagai tahun tertinggi dalam sejarah negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata pencapaian itu turut mewujudkan 5,127 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk industri, tenaga dan pembangunan teknologi hijau.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, RM3.27 bilion direkodkan pada 2023, diikuti RM264.4 juta pada 2024, sebelum melonjak kepada RM7.58 bilion pada 2025 setakat Disember.
Katanya, lonjakan itu mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai antara negeri yang semakin menonjol dalam pembangunan industri tenaga boleh diperbaharui (RE), selain memiliki potensi besar untuk muncul sebagai hab tenaga hijau serantau.
“Industri tenaga hijau sahaja telah menyumbang sekitar RM2.9 bilion pelaburan melalui projek solar hibrid di Tasik Kenyir dan RM800 juta menerusi projek solar di Pulau Bidong, meskipun pelaksanaannya memerlukan pertimbangan teliti melibatkan isu guna tanah dan pematuhan garis panduan pembangunan ladang solar,” katanya.

Mohd Nurkhuzaini berkata, berdasarkan Data Asas Negeri Terengganu 2023, kapasiti penjanaan elektrik negeri itu kini mencecah sekitar 1,012.91 megawatt (MW), melibatkan penjanaan di Stesen Sultan Mahmud Kenyir serta ladang-ladang solar swasta.
Menurutnya, Terengganu kini menyumbang kira-kira 20 peratus tenaga hijau negara dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 30 peratus menjelang 2030, selari dengan aspirasi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Katanya, kapasiti itu meletakkan Terengganu sebagai negeri yang mempunyai lebihan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus membuka ruang untuk muncul sebagai pengeksport tenaga hijau dan pusat rujukan industri tenaga bersih negara.
Seiring perkembangan itu, katanya, kerajaan negeri turut membuka ruang kepada pelaburan berasaskan teknologi hijau seperti pusat data hijau, hidrogen hijau dan industri berasaskan tenaga bersih yang memerlukan bekalan tenaga stabil serta kos kompetitif.
Bagaimanapun, beliau berkata setiap cadangan pelaburan baharu, khususnya di kawasan Bukit Besi, akan dinilai terlebih dahulu berdasarkan kesesuaian lokasi dan potensi pembangunan jangka panjang.
Justeru, katanya, prestasi pelaburan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Terengganu sebagai destinasi pelaburan masa depan, khususnya dalam sektor tenaga hijau dan ekonomi berimpak tinggi.
Tag :