• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu Tawar Pelabur Bangun Pulau Bayas

KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan Terengganu menawarkan peluang kepada mana-mana pelabur yang berhasrat untuk membangunkan Pulau Bayas bagi merancakkan pembangunan industri pelancongan di Tasik Kenyir Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri  mengalu-ngalukan mana-mana pelabur yang berhasrat berkerjasama dengan kerajaan untuk membangunkan pulau tersebut dan permohonan mereka akan dberikan pertimbangan sewajarnya.

"Kerajaan negeri membuka peluang seluas-luasnya untuk membuat 'joint venture' atau 'smart partnership' dengan agen-agen ataupun GLC negeri Terengganu untuk mempastikan pembangunan di Pulau Bayas diteruskan," katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.  

ADUN Telemong Zawawi Ismail dalam soalan asalnya ingin tahu status terkini Zon Bebas Cukai di Tasik Kenyir Hulu Terengganu dan perancangan kerajaan negeri di masa hadapan.

Razali yang juga ADUN Kijal berkata kerajaan negeri juga merancang untuk membuka peluang kepada pelabur-pelabur yang mengemukakan cadangan pelaburan di Pulau Bayas, Tasik Kenyir serta memperomosikannya tasik itu sebagai 'Geo-Park' bertepatan dengan pengiktirafan Jawatankuasa Geo-Park Kebangsaan pada 30 Mei 2023 yang lalu.

Menjawab soalan tambahan ADUN Kuala Berang berkaitan pencawang elektrik ke Pulau Bayas Datuk Razali berkata kerajaan negeri sedang mengkaji proses penyiapan projek berkenaan.

"Kita (kerajaan negeri) telah menerima beberapa syarikat yang berminat dan kita akan teruskan seperti mana cadangan Yang Berhormat Kuala Berang," jelasnya.

Untuk rekod banyak projek di Pulau Bayas terpaksa dihentikan kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.


Tag: