• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Terima Pelaburan Berjumlah RM3.292 Bilion

KUALA TERENGGANU, 27 November - Nilai pelaburan yang berjaya masuk ke negeri Terengganu pada tahun 2023 adalah berjumlah RM3.292 bilion.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut berjaya dicapai bermula Januari sehingga Oktober 2023.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu, antara sektor yang terlibat adalah Produk Galian Bukan Logam iaitu sebanyak RM3.145 bilion.

"Selain itu, sektor Kayu dan Produk Kayu serta Jentera dan Produk, masing-masing berjaya memperoleh RM94.7 Juta dan RM28.75 Juta.

"Manakala, sektor Fabrikasi dan Produk Logam pula berjaya mengutip RM21.61 Juta

"Perkhidmatan sokongan pula menyumbang RM623,500, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.292 bilion," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato' Harun di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Belanjawan 2024) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, persoalan tentang kemungkinan berlaku pertindihan peranan antara agensi-agensi persekutuan dengan usaha yang dijalankan kerajaan negeri bersama State Goverment 4 (SG4), Dr. Samsuri menjelaskan, pendekatan SG4 bukan sahaja tiada pertindihan bahkan tiada perlawanan antara peranan pihak kerajaan negeri dengan mana-mana agensi persekutuan.

"SG4 akan menjadikan satu usaha bersifat nilai tambah bagi membantu peranan sedia ada yang dilaksanakan dengan lebih baik antara negeri dan pusat beserta pelbagai agensi.

"Pihak kerajaan juga bersifat terbuka untuk menerima apa jua pandangan, kritikan atau saranan daripada pelbagai pihak merentasi sempadan politik dan sebarang sentimen.

"Apa yang penting, kita melaksanakan usaha berterusan dan agresif untuk memastikan pelabur dapat masuk ke negeri Terengganu dengan lebih efisien," ujarnya.


Tag: