Terengganu Tetapkan Hala Tuju Jadi Peneraju Industri REE
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu menetapkan hala tuju baharu untuk menjadi peneraju industri Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) menerusi pendekatan berfasa, lestari dan strategik, dengan tekad untuk memastikan manfaatnya kembali kepada rakyat dan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sangat komited meneroka sumber NR-REE secara beretika dan berhati-hati demi mengelakkan kesilapan silam.
“Kita tidak mahu ulangi kelemahan dalam sektor silika – perkara sama yang dibangkitkan oleh YB Seberang Takir dan lain-lain.
“Pembangunan sektor ini mesti dilaksana dengan pematuhan teknikal, pendekatan berhemah dan libat urus komuniti bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau berkata, Terengganu telah mengenal pasti potensi terbesar sektor NR-REE di Malaysia dan bersedia memimpin pembangunan sumber ini secara strategik.
"Potensi yang ada di Terengganu adalah paling signifikan di Malaysia.
"Satu kerangka kerja dan peta jalan NR-REE telah dirangka bagi memastikan manfaat yang terbanyak kembali kepada rakyat negeri ini," tambah beliau.
Katanya, penguasaan teknologi pemprosesan menjadi keutamaan kerana kebergantungan global kini masih tertumpu kepada satu negara.
"Hala tuju Negeri dalam sektor NR-REE turut dipacu oleh keperluan mengakses teknologi pemprosesan, yang kini banyak dikuasai oleh China.
"Kerajaan Negeri sedang giat meneroka kerjasama strategik dengan negara-negara lain seperti Australia, Jepun, dan Korea bagi mendapatkan teknologi alternatif yang lebih terbuka dan lestari," jelasnya.
Tambah beliau, pelaburan dalam sektor ini bukan sahaja menjana pendapatan, malah membuka ruang pekerjaan dan industri sokongan yang lebih kukuh.
"Matlamat kita jelas, iaitu untuk memastikan rantaian nilai industri ini dibina dan kekal di Terengganu.
"Melalui pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan industri sokongan, pelaburan berimpak tinggi, dan pemindahan teknologi, ekonomi negeri dapat dipacu ke hadapan," ujar beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja awal telah bermula dan sambutan pelabur global amat memberangsangkan.
"Setakat ini, dua kawasan telah diluluskan bagi kerja-kerja persampelan dan eksplorasi NR-REE.
"Kerajaan Negeri turut berusaha menarik minat pelabur global, untuk membangunkan segmen pertengahan dan hiliran industri ini di Terengganu," jelas beliau.
Katanya lagi, pendekatan menyeluruh ini mampu meletakkan NR-REE sebagai tonggak ekonomi baharu negeri.
"Langkah ini dijangka memberi kesan pengganda ekonomi yang besar.
"Sektor NR-REE bakal menjadi salah satu sumber pendapatan strategik baharu untuk Negeri," ujarnya.