• 03 Nov 2024 | 01 Jamadil Awal 1446

Terengganu Tidak Akan Bubar DUN Jika PRU Tahun Ini

MARANG, 30 Ogos - Terengganu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya pembubaran parlimen dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendirian itu dimuktamadkan di sebalik desas-desus Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan berlaku pada hujung tahun ini.

“Memang kita sedar bahawa ada usaha-usaha di peringkat pusat oleh kepimpinan parti yang kita sedia maklum, mendesak untuk diadakan PRU-15 dengan kadar segera.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa negeri Terengganu tidak akan membubarkan DUN sebelum daripada Mac 2023.

“Maknanya, jika peringkat pusat membubarkan parlimen sebelum Mac 2023 maka pilihan raya di parlimen sahajalah, tidak di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat sempena Penyerahan Suratan Hakmilik Tanah dan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) DUN Pengkalan Berangan di Dewan Sivik Merchang, di sini hari ini.

Tambahnya, beliau juga percaya bahawa arahan kepimpinan tertinggi parti kepada negeri-negeri yang diterajui PAS iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah sama.

Ditanya tentang alasan terhadap keputusan tersebut, Naib Presiden PAS yang juga merupakan Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) itu menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengadakan PRU15 sebelum tamat tempoh penggal.

“Ini kerana, kita lihat pada waktu sekarang ini tiada keperluan, dalam keadaan kita baru keluar daripada pandemik pada Januari lalu dan aktiviti ekonomi sedang rancak berjalan di mana rakyat pun mula keluar untuk menjalankan urusan masing-masing sama ada berniaga atau apa-apa juga usaha. 

“Jadi tentulah, keputusan mengadakan pilihan raya dan membentuk suatu keadaan poilitik baharu yang belum tentu ini adalah (langkah) tidak cermat perkiraannya.

“Kita ingin melihat, oleh kerana tempoh penggal masih ada dan rakyat sedang bergerak ke hadapan, biarlah rakyat bergerak ke hadapan dengan pantas serta persoalan pilihan raya itu di kemudiankan,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 437 penduduk menerima suratan hak milik tanah dan borang 5A melibatkan lima kawasan di DUN Pengkalan Berangan.

 


Tag: