• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Tidak Bubar DUN, Tumpu Banjir

MARANG, 13 Oktober- Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pagi ini memutuskan bahawa parti itu kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS sekiranya Pilihan Raya Umum diadakan pada tahun ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Presiden PAS, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa negeri-negeri terbabit iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN seiring pembubaran di peringkat parlimen.

"PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRU ke-15 atas prinsip penyatuan ummah.

"Kita juga akan memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi negeri bersama PN selain akan mengangkat senarai calon dari negeri untuk penilaian Majlis Syura Ulama," jelasnya menurut kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS yang merupakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, tumpuan kini difokuskan kepada persiapan menghadapi banjir.

"Sekalipun dijangka agak besar, saya rasa tidak ada masalah untuk berdepan banjir. Ini kerana, selain agensi kerajaan yang sedia ada dipersiapkan, daripada segi parti, PAS sendiri ada satu unit yang menguruskan isu dan persiapan banjir, jadi apabila kena hadap, kita hadaplah," katanya.

 

 

 


Tag: