• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Utamakan Subjek Sains, Matematik Dan BI Untuk Kekal Cemerlang Peperiksaan Awam


Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan memberi tumpuan yang lebih terhadap mata pelajaran Sains, Matematik dan juga Bahasa Inggeris bagi pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini dalam memastikan Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan awam.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin berkata, dalam menjayakan transformasi pendidikan ini, semua memainkan peranan masing-masing termasuk di peringkat jabatan, sekolah dan juga komuniti.

“Bagi mengekalkan kecemerlangan, pada tahun ini kita sangat fokus kepada tiga mata pelajaran iaitu Sains, Matematik dan juga Bahasa Inggeris.

“Pelbagai aktiviti dibuat termasuk pengetua dan guru besar dikehendaki membuat gerakan untuk meningkatkan penguasaan dalam tiga matapelajaran ini terutamanya mendedahkan pelajar terhadap kemahiran berfikir aras tinggi,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Bertemu Pelanggan dan Majlis Sambutan Hari Raya JPNT yang turut dimeriahkan dengan kedatangan Menteri Besar, Dato’Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Dataran Anjung Ilmu JPNT, hari ini.

Safruddin berkata, JPNT turut menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti sekolah supaya ibu bapa dan juga masyarakat turut serta dalam kecemerlangan pendidikan Terengganu.

Selain itu katanya, peranan kerajaan negeri juga cukup besar dengan memberi bantuan kepada JPNT sebanyak RM4 juta untuk memperkukuhkan dan memperkasakan aktiviti-aktiviti pendidikan tahun ini.

“Dengan dorongan kerajaan negeri dan rakan strategik yang lain, JPNT mengharapkan Terengganu berjaya mengekalkan kecemerlangan seperti dalam peperiksaan UPSR dan peperiksaan-peperiksaan lain yang pernah kita capai sebelum ini,” ujarnya.

Tag: