• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Zahirkan Ucapan Tahniah Atas Pelantikan Perdana Menteri

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Terengganu merakamkan ucapan tahniah buat Perdana Menteri ke-9 yang baharu mengangkat sumpah hari ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan setinggi ucapan tahniah kepada Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan. 

"Menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atas perkenan dan kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik negara ini.

"Diharapkan pelantikan ini akan menamatkan segala spekulasi berkenaan pelantikan Perdana Menteri baharu," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Dr. Samsuri, beliau juga berharap semua barisan pimpinan dapat bekerjasama dan bersatu hati untuk lebih fokus kepada agenda memulihkan negara daripada pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat.

"Semoga diberikan kemudahan dan petunjuk daripada-Nya untuk meneraju negara tercinta dengan amanah dan bijaksana," ujarnya.


Tag: