• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Terima Kasih Agensi Kerajaan, Sukarelawan'

KEMAMAN, 5 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu masyarakat dalam menghadapi musibah banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, baru-baru ini.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu, mangsa banjir di DUN terbabit kini mampu menarik nafas lega hasil bantuan orang ramai.

"Mewakili kerajaan negeri Terengganu, saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, Sukarelawan Khidmat Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) serta mana-mana pihak yang turut sama membantu mangsa banjir di DUN ini.

"Program hari ini pula diadakan bagi memastikan kawasan di sini menjadi bersih seperti sebelum ini. Semoga kesihatan rakyat di sini terjamin, semua sampah-sarap dibuang dan bau-bau busuk hilang," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita di program gotong-royong membersihkan sampah di kawasan rumah penduduk dilanda banjir di DUN itu, kelmarin.

DUN Air putih merupakan satu-satunya kawasan di negeri ini yang dilanda banjir lumpur dan ia telah mengakibatkan kerosakan pada kebanyakan harta benda, perabot rumah dan sebagainya.

Pelbagai inisiatif diambil oleh pihak kerajaan negeri seperti gotong-royong, program dapur rakyat, sumbangan beras serta barangan dapur dan bantuan kewangan disalurkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan rakyat dapat dipelihara sebaiknya.