• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Terima Kasih Kerajaan Negeri Kerana Cakna Wanita'

KUALA TERENGGANU, 30 November - Wakil wanita Terengganu merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu kerana telah menunjukkan kecaknaan terhadap wanita Terengganu melalui Belanjawan Terengganu 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor mewakili seluruh wanita Terengganu menyatakan kesyukuran dan penghargaan atas pelbagai isentif dan peruntukkan khusus buat kaum wanita.

"Pihak kerajaan negeri menunjukkan kecaknaan terhadap kesihatan wanita dengan pemberian baucer pakej berpantang dengan nilaian RM200 kepada 5,000 orang wanita yang layak.

"Selain menyediakan peruntukan RM300 ribu bagi menjayakan program pemeriksaan mammogram dan pap smear kepada wanita Terengganu yang berumur 35 tahun ke atas," ujarnya

Beliau turut menyentuh mengenai kegagalan pesakit wanita membuat rawatan awal sehingga akhirnya penyakit tersebut berada di tahap serius.

Zuraida berpendapat bahawa antara faktor yang menyumbang kepada perkara tersebut adalah, wanita tidak berani untuk mendapatkan rawatan awal di hospital sebaliknya lebih memilih rawatan alternatif seperti bomoh, dukun dan sebagainya.

"Hal ini menyukarkan proses rawatan dan tidak kurang juga akhirnya menelan belanja rawatan yang lebih besar. Paling tragis, ianya berakhir dengan kematian.

"Suka untuk saya tegaskan bahawa wanita perlu bersuara dan mengambil peluang melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala agar risiko masalah kesihatan dapat dikurangkan, " ulasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Belanjawan Terengganu 2023 di U2, Dewan Undangan Negeri Terengganu, semalam.

Zuraida berharap agar para suami, wali, ahli keluarga, pihak majikan dan komuniti mengambil tanggungjawab untuk memenuhi dan menyokong keperluan serta penjagaan kesihatan wanita sepanjang hayat.