• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

'Terima Kasih Rakyat Kemaman' - Dr Sam

KEMAMAN, 3 Disember - "Saya mengambil kesempatan pada malam ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di Kemaman," ujar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Calon PAS PRK Kemaman tu berkata demikian sebaik sahaja diumumkan sebagai Ahli Parlimen Kemaman apabila menang dengan majoriti 37,220.

Katanya, kemenangan itu adalah untuk rakyat di daerah berkenaan yang terpaksa berdepan dengan suasana PRK selama dua minggu.

"Kita ucapkan terima kasih atas kemenangan besar ini walaupun peratusan keluar mengundi itu kecil berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang lepas.

"Kita menjangkakan target yang dicapai sebagaimana yang diletakkan dalam kalangan pimpinan dengan majoriti 30,000.

"Jadi dengan majoriti yang diperolehi ini adalah melebihi daripada sasaran awal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Pusat Penjumlahan Undi, di Dewan Berlia Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dr Sam berkata, dari jumlah keluar mengundi adalah rendah berbanding sebelum ini.

"Kita jangkakan yang keluar mengundi sekitar 72 hingga 74 peratus, tidak mencapai target peratusan keluar mengundi tetapi majoriti diperolehi adalah lebih daripada jangkaan.

"Saya tak nak komen mengenai perkara itu, tetapi boleh ditafsirkan dengan pelbagai perkara, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku," ujarnya.

Dalam pada itu, di atas kejayaan sulungnya sebagai Ahli Parlimen beliau  juga turut berterima kasih kepada jentera PAS dan Perikatan Nasional.

"Seluruh jentera-jentera yang telah datang sama ada daripada penduduk tempatan mahupun dari dalam dan luar negeri.

"Daripada PAS, Bersatu dan Gerakan yang telah bertungkus lumus membantu dalam memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya pada kali ini,"ujarnya.


Tag: