Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan tragedi kemalangan bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengorbankan 15 nyawa pada Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, penghargaan tidak terhingga ditujukan kepada petugas perubatan di Hospital Gerik, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping yang bertungkus-lumus memberi rawatan terbaik kepada mangsa.
Katanya, kerajaan negeri juga menzahirkan penghargaan kepada pasukan barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat serta semua anggota penyelamat yang bertindak pantas demi keselamatan dan kesejahteraan mangsa.
“Di samping itu, terima kasih kepada kerajaan negeri Perak terutamanya Pejabat Daerah Gerik, Majlis Bandaraya Ipoh, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan yang memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan serta memberi sokongan logistik kepada waris dan keluarga mangsa.
“Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung khususnya Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat kerana membantu mengurus dan membawa pulang jenazah.
“Alhamdulillah, proses membawa pulang kesemua jenazah ke Terengganu mengikut perancangan tanpa sebarang masalah,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Maliaman berkata, kerajaan negeri amat menghargai keprihatinan semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan.
“Terima kasih semua yang prihatin dan terus memberi sokongan kepada mangsa yang masih hidup dan ahli keluarga mangsa yang meninggal.
“Semoga semua mangsa yang cedera dikurniakan kesembuhan dan keluarga yang kehilangan insan tersayang terus diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat-saat duka ini,” katanya.