10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
Terokai Potensi Baharu Dalam Industri Pelancongan- Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya kerajaan negeri memberi penekanan terhadap penjenamaan produk dengan mengenal pasti Unique Selling Point (USP) yang ditawarkan untuk menarik minat pelancong.
Titah Baginda, kerajaan negeri perlu meneroka potensi baharu dalam industri pelancongan bagi memberi nilai tambah kepada aset-aset pelancongan sedia ada seperti menjenamakan Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin terkemuka dalam negara.
“Kepelbagaian dan keunikan sumber alam semula jadi, bermula dari jajaran pantai sepanjang dua ratus empat puluh empat (244) kilometer, kehijauan hutan hujan tropika, kepelbagaian sumber flora dan fauna, keindahan dasar laut yang memukau sehinggalah ke khazanah seni, budaya dan warisan yang masih terpelihara merupakan anugerah yang tidak terhingga daripada Allah Subhanahuwataala buat seluruh rakyat negeri ini.
“Keunikan tujuh pulau peranginan utama di Terengganu seperti Pulau Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Bidong, Pulau Lang Tengah dan Pulau Kapas berpotensi tinggi untuk dipasarkan ke peringkat global,” titah Baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, Baginda turut menitahkan agar kaedah promosi yang lebih strategik bagi melonjakkan aktiviti pelancongan marin Terengganu dilaksanakan.
“Penemuan Bidong Shipwreck yang berusia lebih lima ratus (500) tahun di Pulau Bidong membuktikan terdapat banyak lagi khazanah dasar laut yang perlu diterokai.
“Justeru itu, Galeri Arkeologi Maritim Terengganu wajar diwujudkan agar segala penemuan berharga ini dapat disimpan pada suatu tempat yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan dan kajian,”titah Baginda lagi.
Dalam masa yang sama, Sultan Mizan juga mahu pelancongan marin yang mencakupi aktiviti-aktiviti berkaitan seperti voluntarism dalam program-program konservasi penyu dan hidupan marin, penganjuran pelbagai acara berimpak tinggi di pulau-pulau, serta menonjolkan kebudayaan negeri melalui penglibatan komuniti setempat diperluaskan.
Baginda turut menzahirkan keprihatinan apabila melihat sektor pelancongan mencatatkan perkembangan baik berdasarkan kemasukan pelancong keTerengganu pada tahun 2022 iaitu seramai 3.7 juta orang yang melepasi sasaran tiga juta sebelumnya.