• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Terowong ECRL Di Terengganu Siap Enam Bulan Awal

DUNGUN, 10 April - Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Paka di sini mencapai kemajuan 98.5 peratus dan siap enam bulan lebih awal daripada jadual asal.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, infrastruktur sejauh 1.1 kilometer itu adalah antara 59 terowong di laluan projek ECRL dalam Malaysia.

“Pencapaian ini merupakan hasil usaha selama 620,000 jam bekerja dengan perlaksanaan kaedah gerudi dan letup terowong menembusi batu sederhana luluhawa granit di bawah kontraktor utama ECRL China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL).

“Pelbagai cabaran dihadapi seperti penangguhan kerja-kerja pembinaan selama 9 bulan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat semasa pandemik COVID-19 yang telah mengurangkan tenaga dan tempoh bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara letupan terakhir di Terowong Paka yang terletak lebih kurang 42 meter dari penghujung portal terowong (portal selatan), petang semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRL. Dato' Sri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan CCC-ECRL Bai Yinzhan.

Menurut Ketua Setiausaha Negara itu, Terowong Paka dibina untuk mengelakkan penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan.

"Terima kasih juga kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam meluluskan dan memberi kerjasama menjayakan projek ini," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh yang hadir sama berkata, kerajaan Terengganu berbangga dengan kejayaan menjayakan projek tersebut tanpa sebarang masalah keselamatan.

“Dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, terowong ini adalah pertama yang siap di Malaysia dan seterusnya terowong kedua di Terengganu dijangka akan membuat penembusan pada pertengahan bulan Jun 2021.

“Ini setelah Terowong Dungun yang mempunyai 871 meter panjang kini mencapai tahap kemajuan lebih daripada 760 meter bagi kerja-kerja penggalian

“Kerajaan Negeri Terengganu memberi sokongan dan komitmen penuh terhadap ECRL dan CCC-ECRL dalam penyiapan projek ini,” jelasnya.