KUALA NERUS, 14 Januari - Terengganu FC (TFC) bangkit dengan mengekalkan momentum kemenangan apabila berjaya menundukkan Brunei Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM) 1-0 di Stadium Sultan Zainal Abidin, malam tadi.
Mata pendahulu yang juga menjadi mata tunggal dalam perlawanan malam itu tadi direalisasikan oleh Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada akhir babak pertama.

Pemangku Ketua Jurulatih TFC, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, pemain pasukan kendaliannya itu secara keseluruhannya berjaya menunjukkan prestasi permainan yang memuaskan hati.
Walaubagaimanapun, beliau turut berpendapat bahawa masih awal untuk menyempurnakan gandingan antara pemain, khususnya pemain import baharu, Shervoni Mabatshoev serta Panshanbe Ehsoni.

"Setakat ini, Ehsoni saya berpuas hati walaupun kali pertama dia main dia dapat sesuaikan diri dengan pasukan kita pada malam ini.
"Dengan Shervoni tu saya nampak masih lagi mencari-cari tapi saya tak ada masalah, sebab sekarang ni terlalu awal untuk kita. Banyak lagi perlawanan untuk kita lalui," katanya mengulas prestasi dua pemain dari Tajikistan itu.
Terdahulu, awal babak pertama menyaksikan beberapa asakan serangan daripada kedua-dua pasukan dalam cubaan untuk menembusi benteng pertahanan pasukan lawan dengan TFC mendominasi padang sebelum perlawanan mencapai kemuncak pada minit ke-41.

Meskipun percubaan gagal, aksi mencemaskan di hadapan gawang pasukan pelawat tersebut jelas kembali menghairahkan hampir 2000 penonton di stadium untuk bersorak kuat
TFC akhirnya berjaya menebus kembali kesilapan, memecahkan kebuntuan apabila Engku Shakir meledak gol tunggal pada minit ke-42 menerusi satu rembatan dari luar kotak penalti terus ke dalam gawang lawan.
Skuad negeri dijadualkan untuk bertembung UM Damansara United pada 19 Januari (Khamis), jam 5.00 petang yang akan berlangsung di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur.