• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Terengganu Football Club (TFC) mempamerkan aksi cemerlang sebelum tewas ke atas pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023.

Seramai 82,555 orang penyokong kedua-dua pasukan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

TFC di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner membariskan trio serangan terbaik, Ivan Mamut, Norhakim Hassan dan Sony Nordey sebagai senjata di bahagian serangan bagi merobek gawang JDT.

Sementara itu, pengendali JDT turut merangka percaturan berbisa dengan meletakkan Fernando Forestieri, Arif Aiman dan Heberty sebagai penyerang untuk menggempur pertahanan sang penyu.

Bermula perlawanan, pada minit ke-6, JDT dihadiahkan sepakan penalti apabila Fernando Forestieri dijatuhkan oleh Azam Azmi Murad dalam kotak penalti TFC.

Penyerang import JDT, Bergson Da Silva berjaya menyudahkan penalti dan meletakkan JDT kelebihan satu mata di hadapan.

TFC yang ketinggalan terus melancarkan serangan ke kubu lawan melalui cubaan Engku Nur Shakir di luar kotak penalti pada minit ke- 13 namun berjaya digagalkan penjaga gol lawan, Syihan Hazmi.

Pada minit ke 18, TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Ivan Mamut dikasari oleh Jordi Amat dalam gawang JDT.

Penyerang import TFC, Ivan Mamut berjaya menyudahkan penalti tersebut sekali gus memastikan TFC menyamakan kedudukan 1-1 sebelum tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, pada minit ke 64, Syihan Hazmi sekali lagi cemerlang menepis rembatan kencang Ivan Mamut yang menerima hantaran cantik mellalui sepakan percuma dari Sony Nordey.

Babak kedua menyaksikan para pemain kedua-dua pasukan lebih agresif dan masing-masing saling berbalas serangan.

Pada minit 73, JDT berjaya meledak jaringan kedua menerusi tandukan Feroz Baharudin yang meletakkan JDT mendahului 2-1 hadapan TFC.

Berselang 7 minit kemudian, Azam Azmi Murad terus memberi tekanan dengan merembat ke gawang lawan namun penjaga gol JDT itu terus cemerlang menepis rembatannya.

Memasuki masa tambahan, JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, S. Logeswaran selepas Arif Aiman Hanapi dikasari oleh Muhammad Shahrul Nizam dalam kotak penalti.

Arif Aiman tidak berdepan masalah untuk meledak gol ketiga JDT sekali gus menyaksikan Harimau Selatan merangkul Piala Malaysia buat kali keempat.

 

 


Tag: