• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

T-Fight Buat Jualan Amal Bantu Rakyat Palestin

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Persatuan Muay Thai Terengganu dengan kerjasama Terengganu Fight Festival (T-Fight) menganjurkan program menjual sambil menderma bagi membantu rakyat Palestin yang terlibat dengan tragedi serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak Sabtu lalu.

Pengarah Urusetia Belia, Sukan & NGO Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata konsep tersebut dilaksanakan sebagai tanda protes terhadap kekejaman berlaku pada umat Islam di Gaza.

Katanya, setiap cetakan baju bermodalkan RM20 dan dijual dengan harga RM25.

"Keuntungan sebanyak RM5 itu akan disalurkan kepada Tabung Amal Palestin.

“Baju peringkat pertama akan dikeluarkan 2,000 helai untuk di agihkan kepada semua ejen semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Tabung Bantuan Palestin T-Fight bertempat di Sumai Hotel Apartment Dewan Nova 1 di sini semalam.

Turut hadir, Presiden Persatuan Muay Thai Terengganu yang juga merupakan penganjur program, Master Najmi Abdullah dan wakil daripada Yayasan Tabung Amal Malaysia.

Najmi berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 50,000 helai jualan baju-T dalam tempoh dua minggu dilaksanakan.

Pihaknya juga menganggarkan sebanyak RM250,000 untuk disalurkan segera kepada rakyat Palestin.

“Baju itu boleh didapati menerusi ejen di seluruh negara atau beli secara dalam talian menerusi akaun Facebook rasmi T-Fight," ujarnya.

 

 


Tag: