• 28 Jul 2021 | 18 Zulhijah 1442

THRDC Terima 3,500 Surat Tunjuk Minat, Peluang Buat 'Pemburu' Kerja

KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) merekodkan kira-kira 3,500 surat tunjuk minat (LOI) sekali gus memberi berita gembira kepada mereka yang sedang menganggur atau mencari kerja.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, surat daripada majikan pelbagai sektor tersebut menawarkan 3,000 lebih kekosongan pekerjaan.

“Proses itu akan dilaksanakan dalam memastikan rakyat yang tiada pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau baru tamat pengajian, kita akan isi kekosongan yang ada.

“Melalui THRDC, kita akan menjadi jambatan antara majikan bagi memenuhi keperluan tenaga dan institusi-institusi latihan yang membekalkan seperti mana yang diperlukan.

“LOI menyatakan apa kepakaran yang dikehendaki, oleh itu kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan elaun bagi melatih mereka yang berminat bagi mengisi keperluan tersebut,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.

Tambahnya, THRDC sentiasa berhubung rapat dengan pelbagai majikan dan institusi latihan tentang maklumat kekosongan dalam bidang-bidang berkaitan bagi menjayakan konsep penyediaan tenaga kerja sesuai atau ‘Place and Train’.

“Di peringkat negeri, bagi mereka yang berminat untuk pendaftaran atas talian program ‘Place and Train’ boleh melawat laman web https://bit.ly/belia_kerja.

“Sementara itu, pencari kerja juga boleh berdaftar dengan https://www.myfuturejobs.gov.my/ , ini platform perkeso dimana Terengganu bergerak sekali dalam mencari jodoh pekerjaan bagi mereka yang ingin menceburi apa-apa bidang,” katanya lagi.