• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

THT Kukuh Kedudukan Di Persada Liga

KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya mengekalkan kelebihan jaringan untuk menang tipis 2-1 ke atas skuad projek remaja kebangsaan, Young Tiger (YT) pada perlawanan ketujuh Liga Hoki Malaysia (MHL), semalam.

Beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk, anak-anak buah Seo Jongho selesa di depan seawal minit kedua apabila Jang Jonghyun menjaringkan gol pendahuluan menerusi pukulan sudut penalti.

THT terus melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-8, hasil gerakan solo Muhammad Marhan Mohd Jalil setelah menerima umpanan Mohd Faizal Saari.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain-pemain kendalian Muhammad Amin Rahim mula menggasak untuk merapatkan kedudukan.

Seminit kemudian, Young Tiger berjaya mengurangkan jurang setelah Perabu Tangaraja menyumbat gol pertama pasukannya menerusi pukulan sudut penalti.

YT kekal menguasai permainan sehingga siren separuh masa pertama dibunyikan, namun kedudukan kekal 2-1.

Memasuki babak kedua, YT lebih dahulu mengancam gawang tuan rumah, bagaimanapun pukulan sudut penalti yang diperolehi tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan.

THT lebih banyak menerima asakan pada separuh masa kedua tetapi masih berhasil melakukan serangan berbahaya ke gawang pelawat.

Perlawanan ini menyaksikan kedua-dua penjaga gol iaitu Muhammad Shahrin Izzuddin Shamsuri (THT) dan Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal (YT) mempamerkan aksi cemerlang menyelamatkan gawang masing-masing.

YT nyaris-nyaris menyamakan kedudukan apabila memperoleh beberapa pukulan sudut penalti pada minit-minit akhir perlawanan.

Bagaimanapun, THT berjaya mempertahankan kelebihan satu jaringan sehingga masa penamat.

Kemenangan 2-1 menyaksikan pasukan kebanggaan Terengganu itu kekal di persada liga selepas tujuh perlawanan 19 mata.

THT akan kembali bertemu YT dalam aksi pusingan kedua di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

 

 

 

 


Tag: