• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TI Properties Catat Keuntungan Lebih RM2 Juta

KUALA TERENGGANU, 7 November  - TI Properties salah satu anak syarikat yang berada di bawah Terengganu Incorporated berjaya mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM 2,039,652 juta pada tahun 2022.

Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya berkata ia adalah satu pencapaian yang membanggakan dan berharap syarikat itu akan terus melakar kejayaan.

Katanya, TI Properties telah didaftarkan pada tahun 2017 dengan fokus bisnes berkaitan pengurusan aset dan fasiliti. 

“Sehingga kini syarikat telah mengoperasikan Kuala Terengganu Drawbridge, Kuari di Tebing Tembah di Paka, Kerteh Industrial Park (KTIP) di Kerteh, Flat Hiliran Kuala Terengganu, Kijal Permai Apartmen di Kijal serta Pulau Poh Tasik Kenyir seluas 9.7 ekar yang akan bermula pada Januari 2024. 
 
“Saya juga difahamkan TI Properties mensasarkan perniagaan baru iaitu Pengurusan Fasiliti Kesihatan di mana ianya adalah antara kerjasama dengan KMI Healthcare.

“Ini termasuklah merancang dan membangunkan fasiliti kesihatan baru atau memperbaharui fasiliti yang sedia ada, dan memastikan semua aspek infrastruktur kesihatan mematuhi standard dan peraturan industri ,”ujarnya. 

Beliau yang mewakili Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika memyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu TI Properties Sdn Bhd & Pelancaran Pelaksanaan Inisiatif ESG bertempat di Perkarangan Ibu Pejabat TI Properties Sdn Bhd, di sini semalam.

Tambah beliau, dengan mewujudkan peluang perniagaan baru, tekanan terhadap kebergantungan kepada hasil pendapatan petroleum dapat dikurangkan.

Dalam masa sama, Tengku Seri Bijaya turut memuji inisiatif pejabat Baharu TI Properties yang menerapkan elemen-elemen ESG bagi menyokong usaha Kerajaan dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Kata beliau, antaranya adalah usaha untuk ke arah Zero Plastic, penggunaan Tenaga Solar bagi mengurangkan kos tenaga elektrik, Rain Water Harvesting yang mengumpul air hujan untuk kegunaan dalaman syarikat, Vertical Wall Garden yang diletakkan di bahagian lobi mewujudkan suasana hijau di dalam pejabat. 

Sementara itu, Ketua pegawai eksekutif TI Properties, Awasi Mohamad berkata pihaknya sentiasa menyokong hala tuju kerajaan negeri melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang mensasarkan penjanaan pendapatan baru yang mampan dalam Teras Strategik Ke-10.

“Ini termasuk memperkasakan Teras Strategik Ke-2 iaitu kelestarian pelancongan Terengganu dengan meningkatkan kualiti dan hasil produk syarikat seterusnya memberi pulangan dividen kepada negeri,”ujarnya.