• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Tiada Perincian Belanjawan, Dr Sam Mahu PRK Adil

KUALA TERENGGANU, 27 November - Menteri Besar Terengganu tidak memperincikan peruntukan atau jumlah kewangan bagi setiap inisiatif dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan Pilihan Raya kecil (PRK) Kemaman berlangsung secara adil.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga calon PAS bagi PRK Kemaman berkata, beliau tidak mahu mengamalkan amalan biasa pihak tertentu yang menjadikan bajet sebagai 'gula-gula' demi memenangi sebarang pertandingan.

"Untuk mengelakkan saya dilihat mengambil kesempatan, supaya pertandingan yang saya sertai (PRK Kemaman) itu lebih adil sifatnya, maka saya mengambil keputusan untuk bersikap lebih cermat, untuk tidak menyebutnya (perincian peruntukan) dalam belanjawan kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut Naib Presedin PAS itu, situasi tersebut adalah sesuatu perkara baharu yang mungkin tidak pernah berlaku di mana jua sebelum ini. 

"Saya ingin menjelaskan bahawa pembentangan saya pada kali ini ada beberapa perbezaan berbanding pembentangan dahulu.

"Pembentangan kali ini tidak menyebut secara terperinci peruntukan setiap inisiatif yang ingin dilaksanakan.

"Walaupun begitu, ia ada dinyatakan dalam Buku Belanjawan 2024. Tugas ini akan diserahkan kepada Yang Berhormat Exco untuk memilih menyebutnya semasa penggulungan," katanya.


Tag: