• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiada Syarikat Terengganu Diberikan Lesen Benih Padi Sah

KUALA TERENGGANU, 8 Januari- Tidak ada syarikat dari Terengganu yang diberikan lesen benih padi sah walaupun Malaysia mempunyai 12 syarikat pembekal benih padi sah yang dilesenkan dibawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.

Sedangkan katanya, Terengganu memiliki 500 hektar sawah yang menghasilkan padi benih.

“Bila padi benih ini dituai, ia di hantar untuk diproses Syarikat Gerbang Selatan di Johor. Bila pesawah Terengganu hendak tabur benih, padi benih dibawa semula ke Terengganu. Main gi mari gitu jah.

“Di Terengganu kita ada Loji Pemprosesan Benih Padi di Ajil, Hulu Terengganu. Tapi tak ada syarikat dari negeri ini diberikan lesen benih padi sah,” ujar Dr Azman dalam satu hantaran di laman facebook rasminya.

Mengulas lanjut katanya, bekalan benih padi sepenuhnya bawah bidang kuasa kementerian dan bukannya dibawah bidang kuasa negeri. 

“Bagaimanapun, dengan kemampuan yang ada, Kerajaan Negeri berusaha sebaiknya bagi memajukan sektor padi Terengganu. 

“Contohnya, bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri memperuntukan lebih kurang RM6 juta kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) bagi pembangunan sistem pengairan dan saliran dibantu oleh Kerajaan Persekutuan lebih kurang RM600 ribu.

“Peruntukan Kerajaan Negeri 10 kali ganda lebih besar. Ini terjemahan dari keseriusan kita,” jelasnya.