• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tiada Unsur Jenayah Dalam Kebakaran Kampung Cina

KUALA TERENGGANU, 20 September - Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu tidak menemui sebarang unsur jenayah yang dikatakan menjadi punca kebakaran membabitkan deretan rumah kedai di Kampung Cina di sini, malam Ahad lalu.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, pihaknya kini memfokuskan kepada elemen lain yang disyaki menjadi punca kebakaran yang melibatkan 12 rumah kedai itu.

“Pihak bomba telah datang semalam untuk buat siasatan dengan bantuan unit pengesan (K9) dari Kuala Lumpur mengenai punca kebakaran, namun unit K9 mendapati tiada unsur jenayah berlaku.

"Kita akan fokuskan kepada punca lain yang mungkin disebabkan oleh pendawaian elektrik dan kita juga tidak menolak punca lain," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melawat tapak kebakaran di Kampung Cina, Kuala Terengganu di sini hari ini 

Tambah Hillman, proses penggalian juga perlu dilakukan di lokasi kejadian untuk mencari punca sebenar, namun jengkaut tidak boleh digunakan memandangkan terdapat laluan air di bawah tapak kebakaran.

Md Hillman berkata terdapat lebih 50 bangunan lama di kawasan Kampung Cina yang dibina sejak 1940.

"Selagi siasatan di tempat kejadian tidak selesai, kita akan tutup kawasan ini dan tidak benarkan orang awam masuk," ujarnya.

Katanya, beliau juga turut mencadangkan kepada pemilik bangunan-bangunan lama agar membuat pendawaian elektrik baharu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. 

 


Tag: