• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Tiga Identiti Digariskan Menuju Era Baharu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 27 November - Kerajaan negeri menggariskan tiga identiti bagi memperkukuhkan keberkesanan kerajaan dalam menuju era baharu Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketiga-tiganya(identiti) mesti dimiliki oleh kerajaan, para pemimpin, pegawai dan penjawat awam serta seluruh rakyat.

Katanya, kerajaan negeri perlu menjadi sebuah kerajaan yang lebih berkesan dengan memberi perhatian dan prihatin serta meringkaskan pelbagai prosedur; selain menerima guna teknologi dalam banyak perkara.

"Semua pemimpin, pegawai-pegawai kerajaan bermula saya sendiri mesti menjadi inspirasi kepada para kakitangan kerajaan dan seluruh rakyat melalui pelaksanaan intergriti, 'walk to talk' dan berhubungan baik dengan semua.

"Manakala kakitangan kerajaan juga diingatkan supaya lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawab agar perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih cekap dan cepat kepada rakyat.

"Selain itu, rakyat juga harus diperkasakan yang mana rakyat mesti bermaklumat, mengambil bahagian dalam isu-isu dan aktiviti kemasyarakatan serta menjadi lebih berdikari dengan keupayaan sendiri," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri lagi, era baharu Terengganu membolehkan sumber kekayaan dinikmati oleh semua melalui pengagihan yang saksama dan pengurusan lestari.

Tambahnya, pembangunan fizikal dan sosial perlu berjalan seiring dan seimbang untuk memenuhi keperluan semasa termasuk tuntutan masa hadapan.

"Mudahnya, Terengganu menjadi contoh 'negeri yang diredhai Tuhan dan disegani orang' ; adil, prihatin dan berkebajikan," ujar beliau.