• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Tiga mayat mangsa tragedi bot nelayan tempatan yang karam di Pulau Redang, Isnin lepas berjaya ditemui sekitar jam 11.00 pagi hingga 1.30 tengahari hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Ramli memaklumkan, ketiga-tiga mayat mangsa bot nelayan TF 124 itu ditemui di lokasi yang berbeza sekitar 1.7 batu nautika dari Pulau Redang oleh nelayan setempat.

"Identiti ketiga-tiga mayat mangsa telah disahkan iaitu Saludin Ismail (50 tahun), Mohd Nazri Abu Bakar (48 tahun) dan Zulkifli Umar (48 tahun) serta seorang mangsa selamat iaitu Muhammad Kamaruddin bin Yudi, 31 tahun.

"Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu oleh KM REDANG sekitar jam 6.30 petang tadi untuk bedah siasat," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini dua lagi mangsa, Ahmad Zamri Ishak dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, masih belum ditemui.

"Sejak awal pagi tadi, sektor pencarian bagi operasi CARILAMAT yang memasuki hari kedua telah diperluaskan hingga 242 batu nautika dengan beberapa aset melibatkan Kapal Maritim (KM) REDANG, pesawat Bombardier CL415 dan dibantu lebih 10 bot nelayan tempatan.

"Selain itu, usaha pencarian kita turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

"Usaha pencarian di laut pada hari kedua ditangguhkan sekitar jam 7.00 petang akibat cuaca gelap dan akan disambung esok," katanya.

 


Tag: