• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Tiga Pelajar Terima Anugerah Khas Menteri Besar Terengganu

Nik Karimah dan Nur Syahidah menunjukkan anugerah khas yang diterima.



KUALA TERENGGANU, 18 April – Tiga pelajar yang memperolehi keputusan tertinggi dalam peperiksaan tahun lalu menerima Anugerah Khas Menteri Besar Terengganu sempena Majlis Hafl El Takrim Sekolah-sekolah Menengah Agama Terengganu, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Muhammad Faidhu Rahman Kamalruazmi dan Nik Karimah Nik Abdul Ghafar dari Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu (MTQT) memperoleh Mumtaz Sofi iaitu pencapaian tertinggi dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan terpilih sebagai pelajar terbaik peringkat berkenaan untuk negeri itu bagi tahun 2018.

Manakala, seorang lagi pelajar SMASZA, Nur Syahidah Hassan pula memperolehi CGPA 4.0 (5A) dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan dinobatkan terbaik dikalangan penerima anugerah peringkat itu.
Dr. Samsuri sampaikan sendiri anugerah khas.

Anugerah khas itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir merasmikan majlis berkenaan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat; timbalannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Ajil, Maliaman Kasim serta Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad.

Kedua-dua pelajar perempuan hadir menerima anugerah berkenaan. Bagaimanapun, Faidhu Rahman diwakili bapanya kerana beliau telah melanjutkan pengajian ke Turki, baru-baru ini.

Ketiga-tiga pelajar berkenaan membawa pulang hadiah komputer riba berjenama Lenovo Ideapad, wang tunai berjumlah RM500 serta sijil penghargaan.




Tag: