• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiga Raja Muda Berkenan Hadir Makan Malam Sidang Komander

KUALA TERENGGANU, 15 November - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berangkat ke Majlis Makan Malam Sempena Sidang Komander Askar Wataniah siri 34/2023, di Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Amirul Karin Sallehuddin.

Keberangkatan Baginda turut diiringi Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Timbalan Panglima Tentera Darat,  Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Nara Setia.

Tengku Seri Temenggong Raja berkata, sidang tersebut merupakan forum yang bertanggungjawab sebagai penasihat kepada panglima tentera darat mengenai perihal pembangunan askar Wataniah. 

“Saya berharap, agar sidang ke-34 yang diadakan di bumi Terengganu Darul Iman ini akan dapat mencapai objektif yang digariskan serta terus mendokong dasar pertananan negara yang telah menetapkan dua komponen di dalam Angkatan Tentera Malaysia merangkumi pasukan tetap dan pasukan simpanan bagi melengkapkan konsep angkatan menyeluruh ataupun ‘total force concept’,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap  penganjuran sidang itu akan memberi pendedahan kepada kesemua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta rakyat negeri Terengganu yang juga perlu bekerjasama dan berganding bahu bagi mengukuhkan pertahanan dan keselamatan negara seperti mana yang telah digariskan di dalam konsep pertahanan menyeluruh.