• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiga Sekawan Ubahsuai Motosikal Guna Hos Mesin Basuh Redah Banjir

HULU TERENGGANU,26 Disember - Hebat dan kreatif, bermodalkan RM8, tiga anak muda di  Kampung Pengkalan Ajal, berjaya  mengubah suai motosikal milik mereka dengan memasang hos mesin basuh pada bahagian enjin karburator supaya dapat digerakkan ketika meredah banjir. 

Muhammad Hanif Azhar Abdullah, 22 berkata, dia dan rakan-rakannya terfikir idea untuk mengubahsuai motosikal jenis Honda EX5 itu bagi memudahkan pergerakan untuk pemindahan ke lokasi selamat apabila kawasan kampung mula dinaiki air.

Menurutnya yang dibantu  dua lagi rakan iaitu Mohd Rizuan Zailan, 22 dan Fakrol Hafizee Mazlan, 18, memasang hos pada enjin motosikal untuk membolehkan ia bergerak ketika meredah air banjir. 

"Kami terfikir untuk pasang hos tu lagipun kosnya murah dan mudah didapati dalam masa dua hari sebelum banjir melanda bagi membantu penduduk angkat barangan penting ke tempat selamat.

"Lagipun kalau nak pindah dan bawa barang-barang ke PPS (pusat pemindahan sementara) dengan berjalan kaki redah air agak jauh bagi penduduk di kampung ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Tambahnya lagi, hasil selepas diubahsuai, motosikal tersebut boleh meredah banjir sehingga air ke paras bahagian 'handle' motor. 

"Biasanya, kalau air dah naik motosikal lain tak boleh lalu, tapi kali ini boleh lepas dengan selamat,"ujarnya.

Setakat jam 2 petang pada Selasa, seramai 10,283 mangsa banjir dari 2,817 keluarga dipindahkan ke 130 buah PPS di tujuh daerah di Terengganu.