• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tiga Tionghua Turut Sertai Kem Jati Diri MPKK


Oleh: Suhaimi Taib

Seramai 337 orang orang Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) termasuk tiga daripada mereka kaum Tionghua menyertai Kem Jati Diri MPKK Terengganu Sejahtera bagi Daerah Kemaman, sepanjang tiga hari berakhir esok.

Pengarah kem tersebut, Ustaz Muhammad Ramlan Mahmood berkata, dari jumlah itu seramai 298 peserta lelaki manakala selebihnya (39 orang) adalah peserta perempuan.

“Tiga orang Tionghua dari MPKK Kampung Cina, Chukai Kemaman termasuk Pengerusinya, Lip Woon Chang, Setiausahanya Low Jin Lee dan Bendaharinya, Lee Hwa Jee.

“MPKK Kampung China mempunyai 16 ahli jawatankuasa termasuk dua orang berketurunan India, seorang Melayu dan selebihnya kaum Tionghua,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu, semalam.


Muhammad Ramlan berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan untuk mempertingkatkan kefahaman dan motivasi diri ahli MPKK berdepan dengan kerenah masyarakat di samping menjaga imej kerajaan di peringkat akar umbi.

Katanya, program tersebut dipenuhi dengan enam slot khusus termasuk Slot Kesejahteraan Pentadbiran Desa, Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

“Selain itu ada slot Pengurusan Kewangan, Pembinaan Imej dan Hubungan Seranta, Komunikasi Awam, Pengurusan Kebajikan Rakyat (1) dan Pengurusan Kebajikan Rakyat (2).

“Ia diselang seli dengan kuliah Maghrib, kuliah Subuh, qiamullail dan riadah bermotivasi dari Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) dan perunding yang dilantik,” kata beliau lagi.

Katanya, kem selama tiga hari itu akan berakhir pada tengahari esok. (Sabtu)

Tag: