• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tindakan Berani Pemandu Lori Jual Mercun Undang Padah

DUNGUN, 13 April - Tindakan berani pemandu lori cuba mengaut keuntungan berlipat kali ganda melalui jualan mercun sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba mengundang padah apabila ditahan pihak polis bersama 19 jenis mercun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki berusia 39 tahun itu telah berjaya diberkas di rumahnya di Ketengah Jaya, kelmarin hasil risikan pihaknya serta maklumat daripada orang awam.

Beliau tidak menolak kemungkinan bekalan mercun yang disembunyikan di dalam sebuah stor berdekatan rumahnya itu diseludup daripada negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Dungun.

"Ini adalah tangkapan dan rampasan kali pertama di daerah ini, kesemua hasil rampasan ini berjumlah hampir RM10 ribu dan apabila dijual pada musim perayaan boleh mencecah sehingga empat atau lima kali ganda.

"Kes disiasat di bawah seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,"katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam sebagaimana yang dilaporkan Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, antara jenis mercun dirampas ialah bola, happy boom, happy festival magic shot, thunder clap di samping cake 168 shot.

Jelasnya, berdasarkan jumlah rampasan tersebut, suspek diyakini pernah terbabit menjalankan aktiviti jualan mercun sebelum ini dalam kuantiti kecil.

Dalam pada itu beliau turut memberikan peringatan kepada masyarakat agar tidak alpa dan sedar bahawa bermain mercun yang menjadi amalan kebiasaan menjelang hari raya adalah merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang.


Tag: