• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tindakan Segera Atasi Kekurangan Bekalan Makanan Ternakan

KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Mesyuarat penyelarasan Kerajaan Negeri bersama pihak terlibat sedang mengambil tindakan segera tentang isu kenaikan harga serta kekurangan bekalan makanan ternakan yang membelenggu penternak di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia berpunca daripada pelbagai perkara yang terlibat dalam rantaian pengeluaran makanan ternakan sehingga mengakibatkan kenaikan harga serta kekurangan bekalan.

Sehubungan itu katanya, jalan segera perlu diambil bagi menggelakkan masalah itu berpanjangan.

"Di Gong Badak, Kuala Terengganu terdapat kilang makanan ternakan milik Koperasi Peserta-Peserta Felcra Berhad (KPFB) dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 60 ribu beg sebulan bagi setiap beg seberat 50 kilogram berjenama Sepadurumi.

"Antara strategi yang diputuskan ialah akan memanfaatkan sepenuhnya kewujudan kilang makanan ternakan KPFB yang ada di Terengganu. Selain itu, PPRNT akan memainkan peranan penting dari segi pemasaran dengan memanfaatkan kemudahan 54 outlet pemasaran milik ahli PPRNT yang terdapat di seluruh Negeri Terengganu.

"Sementara itu, TADC juga akan membantu memasarkan produk makanan ternakan jenama Sepadurumi. Malah, FGV Kernel Produk yang memiliki kilang makanan ternakan di Semambu Kuantan akan meningkatkan jumlah makanan ternakan ke Terengganu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, formula pemakanan produk Kilang KPFB adalah menggunakan kepakaran Professor Dr Wan Zahari, seorang pakar dan penyelidik yang dikenali dalam bidang makanan ternakan.

"Isunya ialah produk ini tak dikenali oleh penternak Terengganu lalu ia tidak menjadi pilihan penternak tempatan yang lebih meyakini produk luar yang telah lama dikenali serta biasa digunakan sebelum ini.

"Suka untuk dimaklumkan bahawa produk makanan ternakan dengan jenama lain yang dikenali ramai juga sebenarnya menggunakan kepakaran Professor Dr Wan Zahari. Produk Kilang KPFB tak kalah dari segi kualiti cuma memerlukan beberapa penambahbaikan dari segi promosi dan pemasaran.

Dalam pada itu, harga makanan keluaran KPFB juga lebih rendah berbanding jenama luar yang biasa digunakan.

"Suatu kerugian apabila Terengganu mempunyai kilang makanan ternakan tetapi produknya dihantar ke negeri-negeri lain dalam keadaan penternak negeri sendiri tak cukup bekalan.

"Semoga langkah penyelesaian jangka pendek ini dapat merungkai sebahagian permasalahan yang sedang dihadapi penternak kita di Terengganu. Penyelesaian cara kita dengan memanfaatkan sumber tempatan sedia ada.

Orang ramai boleh menghubungi Kilang Koperasi Peneroka-Peneroka Felcra Berhad di atas talian 01114969893 (Siti Nur Syeefa).