lightning-solid
Berita :
Tindakan Tegas Diambil Atasi Buli
Tindakan Tegas Diambil Atasi Buli
Rohayati Ripin
27 Aug 25
158

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Keselamatan dan kesejahteraan pelajar dalam institusi pendidikan adalah keutamaan utama dalam usaha menangani kes buli yang berlaku di sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat menegaskan bahawa setiap sekolah telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani isu disiplin, namun pelaksanaannya perlu diperkukuh kerana masalah sering berpunca daripada sikap individu tertentu.

“Setiap pelajar mempunyai tahap ketahanan yang berbeza. Justeru, aspek kaunseling perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan tekanan dan gangguan emosi.

“Isu buli tidak sepatutnya berlaku dalam institusi pendidikan, apatah lagi melibatkan remaja. Namun, apabila ia berlaku, kita wajib menanganinya segera dan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke Beijing Foreign Studies University (BFSU), China, di Dewan Besar Yayasan Terengganu, semalam.

Mengulas kes buli di Kemaman awal Ogos lalu, beliau memaklumkan tindakan segera telah diambil termasuk memindahkan pelajar terlibat serta mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan pihak sekolah sementara siasatan dijalankan.

Kes berkenaan melibatkan enam pelajar sebuah sekolah menengah agama yang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan selepas didakwa memukul seorang pelajar tingkatan tiga dalam kejadian 30 Julai lalu di bilik asrama.

Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha membanteras gejala buli memerlukan kerjasama erat semua pihak terutama sekolah, ibu bapa dan komuniti, bagi memastikan pelajar bukan sahaja selamat secara fizikal, tetapi turut sejahtera dari segi mental, emosi dan pencapaian akademik.


Tag :

Artikel Berkaitan