Jalur Gemilang
Berita :
TIS 2026 Angkat Isu Palestin, Himpun Tokoh Antarabangsa
TIS 2026 Angkat Isu Palestin, Himpun Tokoh Antarabangsa
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Isu Palestin menjadi tumpuan utama Terengganu International Summit (TIS) 2026 bagi memastikan perjuangan rakyat negara itu terus mendapat perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pemilihan fokus itu bersempena memperingati peristiwa Taufan Al-Aqsa.

Menurutnya, penganjuran tersebut bertujuan mengetengahkan kembali isu Palestin supaya penderitaan dan perjuangan rakyat di negara itu terus berada dalam ingatan masyarakat.

“Pada tahun ini, topik yang kita pilih ialah sempena memperingati Taufan Al-Aqsa, iaitu untuk kita mengetengahkan kembali isu Palestin kepada masyarakat.

“Supaya isu Palestin ini sentiasa berada dalam minda kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Itqan Al Muluk Bita'dil As Suluk negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, di sini pada Khamis.

Muhammad Khalil berkata, TIS 2026 akan berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 Oktober ini dengan menghimpunkan tokoh serta wakil antarabangsa dari Oman, Palestin, Thailand, Indonesia, Tajikistan, Iran, Pakistan dan Turkiye.

Menurutnya, TIS yang memasuki edisi ketiga merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Terengganu untuk mengetengahkan negeri itu di peringkat antarabangsa menerusi perbincangan pelbagai topik dan isu semasa.

Antara tokoh yang dijangka hadir ialah Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pejabat Mufti Agung Kesultanan Oman, Sheikh Ahmad bin Saud Saeed Al Siyabi.

Turut dijangka hadir ialah Dr. Mua'az Umar daripada Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM), Muhammad Aladi Zakaria dari Thailand, Dr. Habib Hanif Al-Attas dari Indonesia dan Dr. Ashurov Sharofiddin dari Tajikistan.

Selain itu, Dr. Habib Reza Arzani daripada Kedutaan Republik Islam Iran, Muhammad Suhaib Khan daripada Jamiat Ulema Pakistan dan Yılmaz Balçın dari Turkiye turut dijangka menyertai program berkenaan bersama wakil pelbagai agensi serta jabatan di Malaysia.

Muhammad Khalil berkata, pelbagai pengisian disediakan termasuk seminar, konvoi motosikal, perarakan bot dan ceramah umum bagi memberi ruang kepada masyarakat menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Terengganu dan seluruh Malaysia tanpa mengira agama serta bangsa untuk bersama-sama menyertai program berkenaan.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Terengganu dan seluruh rakyat Malaysia supaya dapat datang ke Negeri Terengganu untuk kita sama-sama menyertai dan meraikan program yang dianjurkan ini untuk menunjukkan solidariti kita kepada saudara-saudara kita di Palestin dan ke arah pembebasan Masjidil Aqsa,” katanya.

Ceramah umum dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober di Stadium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu. 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan