• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

TIS, Wahabi : 'Jangan Berkelahi Isu Furuk'

KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan Terengganu International Summit 2023 (TIS2023) dengan wahabi adalah sangat tidak tepat kerana menyalahi matlamat penganjuran program berkenaan bagi membincangkan 'kesyumulan Islam dalam mendepani cabaran'.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam hari ini terutamanya daripada kalangan agamawan tidak perlu berkhilaf dalam masalah furuk dan berkelahi sesama sendiri hingga membiarkan musuh bermaharajalela.

"Wahabi adalah mazhab akidah, satu tajuk yang sangat luas (perbincanggannya), ada yang tidak reti (faham) termasuk ulama yang tidak 'tafaqquh' (memahami) dan tidak mengaji dalam agama secara menyeluruh.

"Itu yang menjadi masalahnya (perpecahan kalangan umat Islam) penjajah suka sangatlah, dia (golongan tidak faham seolahnya) dia kerja untuk penjajah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri program 'International Summit 2023', di dewan konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Sementara itu Pengerusi Bersama TIS 2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program berkenaan telah menampilkan lapan tokoh pemikir dari luar negara serta dalam negara.

Jelas beliau, antaranya ialah dari India, Dr.Zakir Abdul Karim Naik (India), Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohamed Ibrahim (Sudan), Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi (Oman), Dr.H.Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia), Dr. Mohamed Shahem Ali Saeed (Maldives).

Manakala tokoh dalam negara pula ialah, Dato' Seri. Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil menyatakan program tersebut mendapat sambutan luar jangka.

"Kita jangka 500 orang akan hadir, tetapi yang hadir dan berdaftar hampir 900 orang," ujarnya.