• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tol Percuma, Diskaun Tol Sehingga 50 Peratus Sempena Aidilfitri

PUTRAJAYA, 25 April – Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian tol percuma dan diskaun tol sehingga 50 peratus kepada Keluarga Malaysia yang pulang ke kampung halaman untuk berhari raya selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik sejak 1 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut dilakukan selepas sesi rundingan dibuat bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.

“Secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun ini melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta di mana jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi.

“Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara – selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pemberian tol percuma dan diskaun itu akan bermula pada pukul 12 tengah malam 30 April ini (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam pada 1 Mei depan (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

“Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara–Selatan dan LPT juga akan diberikan juga untuk pulang semula ke kediaman masing-masing bermula pukul 12 tengah malam pada 7 Mei (Sabtu) hingga pukul 11:59 malam pada 8 Mei depan (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

“Tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus pula akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan,” jelas beliau.

Tambah beliau, pemberian tol percuma dan diskaun sempena perayaan Aidilfitri itu diharap akan memeriahkan lagi sambutan bersama-sama orang tersayang.

“Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah,” katanya- KOSMO