Berita :
 TOS Lahirkan Masyarakat Celik Isu, tidak Buta Sejararah
TOS Lahirkan Masyarakat Celik Isu, tidak Buta Sejararah
Adli Mohamad
18 May 26
103

KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Program 'Training Of Society' (TOS) menjadi lambang kesungguhan kerajaan negeri yang begitu komited dalam memberi pendedahan kepada para daie bagi melahirkan masyarakat yang celik ummah dan tidak buta sejarah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, juga menjadi hasrat kerajaan negeri supaya masyarakat di negeri ini berani bersuara mempertahankan kebenaran.

Katanya, program itu merupakan suatu inisiatif yang amat positif dan proaktif dalam memastikan masyarakat memahami apa jua isu yang melanda umat Islam, termasuk membantu bumi Palestin dan menyedari bahawa ia bukan pilihan tetapi tanggungjawab bersama.

"Bertepatan dengan itu penganjuran program ini sangat penting. Kita mahu melahirkan masyarakat yang sedar tentang isu ummah, yang bukan hanya celik akademik, tetapi celik perjuangan.

"Kita mahu membina generasi yang bukan hanya pandai bercakap, tetapi berani bertindak mempertahankan agama dan umat,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis TOS "Luka Umat, Tanggungjawab Kita" dan Pelancaran Sahabat Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata, menjadi hasrat agar dakwah dapat berkembang dengan baik di negeri ini.

"Kita tidak mahu dakwah hanya bergerak di pentas-pentas ceramah semata-mata. Kita mahu dakwah hidup dalam masyarakat meliputi sekolah, kampus, di jalanan, media sosial, di tempat kerja dan dalam kehidupan anak muda.

"Tinggi menggunung impian saya untuk melihat setiap sisi hidup rakyat di Terengganu berpandukan syariatullah. Kerajaan negeri akan sehabis daya mengikut manhaj nubuwwah, sebagaimana 23 tahun Baginda Nabi SAW menyebar dan menyampaikan dakwah Islam tanpa jemu dan putus asa,"ujarnya.

Dalam pada itu beliau merakamkan ucapan tahniah dan jutaan penghargaan terima kasih kepada Jawatankuasa Pelaksana Utama terdiri daripada gandingan kerjasama Akademi DUAT, Iman Care dan Cinta Gaza Malaysia, agensi-agensi negeri serta jabatan-jabatan kerajaan.

"Saya turut mendedikasikan ucapan penghargaan yang setinggi-tingginya buat panelis yang terdiri daripada aktivis kemanusiaan yang aktif di peringkat global dan juga Mantan Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas kesudian menyampaikan ucaptama," tambahnya. 



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan