• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tuisyen Rakyat, Nilai Tambah Kepada Projek Pendidikan

MARANG, 30 Disember - Program Tuisyen Rakyat menjadi satu nilai tambah kepada projek pendidikan walaupun dijalankan di saat akhir sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari depan.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Marang Sektor Pengurusan Sekolah, Mat Alhuda Hanafi berkata, program yang berteraskan peperiksaan awam yang utama seperti ini diharap dapat memberikan anjakan kepada pelajar yang bakal berdepan peperiksaan nanti.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi berkerjasama dengan kita, sama-sama membangunkan pendidikan di daerah Marang, demi melonjakkan pencapaian pendidikan anak-anak bangsa kita khususnya.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Sektor Pengurusan Sekolah, Mat Al Huda Hanafi

"Kita juga sentiasa menadah tangan jika ada pihak-pihak yang sudi menghulurkan bantuan seperti ini, di mana dapat memberikan kesan yang sangat baik dan mendalam,"katanya.

Menurutnya lagi, semasa Peperiksaan Percubaan SPM, Marang mendapat satu keputusan yang baik dengan lonjakan peningkatan semua subjek, bahkan Gred Purata daerah juga turut meningkat.

Beliau berkata ketika hadir merasmikan Program Tuisyen Rakyat Terengganu 2021 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Hasan Awang.

Katanya, apa yang dibimbangkan, keadaan pelajar yang berada lama di rumah disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan momentum dan semangat menempuhi peperiksaan sudah menurun.

"Namun apabila berlaku perubahan dan lanjutan tempoh peperiksaan, kita harapkan kelas tuisyen yang diadakan dapat memulihkan kembali semangat pelajar-pelajar ini.

"Saya juga percaya, semua guru juga berusaha untuk melakukan kaedah yang terbaik untuk pelajar-pelajar demi prestasi dan masa depan termasuk kerajaan negeri," tambahnya lagi.

 


Tag: