lightning-solid
Berita :
Tujuh Kenderaan Perkhidmatan Awam Diambil Tindakan Dalam Ops TBC 2026
Tujuh Kenderaan Perkhidmatan Awam Diambil Tindakan Dalam Ops TBC 2026
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Terengganu telah mengenakan tindakan kepada tujuh kenderaan perkhidmatan awam sepanjang Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2026 JPJ di negeri itu.

Menurut Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion, sebanyak 1,019 kenderaan perkhidmatan awam yang diperiksa melibatkan pemeriksaan di depot, terminal serta rondaan di jalan raya sepanjang tempoh operasi.

IMG-20260223-WA0013.jpg 510.94 KB
"Sepanjang pemeriksaan itu kita hanya ambil kira tujuh sahaja kenderaan perkhidmatan awam yang diambil tindakan.

"Dan kita telah mengeluarkan sebanyak 17 slip (yang) berhubung kepada isu lesen PSV mereka, tayar, cermin retak dan juga lain-lain kesalahan teknikal," katanya.

Tambah beliau, operasi yang telah bermula sejak 13 Februari hingga 22 Februari 2026 itu memberi fokus kepada keselamatan bas ekspres susulan jangkaan peningkatan pergerakan penumpang pada malam terakhir musim percutian Tahun Baru Cina.

"Malam ini fokus kita adalah merujuk kepada pemeriksaan di terminal (bas) kepada kenderaan-kenderaan perkhidmatan awam.

"Sebab ini malam terakhir jadi kita telah membuat jangkaan malam ini banyak pergerakan bas untuk membawa pulang perantau untuk balik ke tempat kerja masing-masing," jelasnya.

IMG-20260223-WA0018.jpg 171.18 KB
Dalam pada itu, Zamri turut mendedahkan sebuah kes membabitkan bas dua tingkat yang membawa 65 penumpang dikesan mengalami masalah teknikal pada tayar belakang, sekali gus ditahan bagi mengelakkan risiko kemalangan.

"Kita ada satu kes yang melibatkan sebuah bas yang membawa hampir seramai 65 orang penumpang, bas bertingkat yang mempunyai masalah teknikal tayar belakang.

"Jadi ini adalah antara usaha pencegahan kita. Kita tahan dan kita mengarahkan supaya bas itu dilakukan pembaikan," ulasnya kepada media ketika ditemui di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, semalam.

Ulasnya lagi, pemeriksaan lanjut mendapati tayar pada gandar ketiga terlalu nipis dan perlu diganti sebelum bas dibenarkan meneruskan perjalanan.

Tindakan awal itu, katanya, adalah sebahagian daripada pendekatan pencegahan bagi mengenal pasti risiko lebih awal sebelum kenderaan bergerak dalam perjalanan jauh.

Operasi berkenaan dilaksanakan dengan slogan 'Pandu Selamat, Sampai Selamat' bagi memastikan tahap pematuhan tinggi dalam kalangan pengusaha dan pemandu bas.

Strategi operasi itu juga memberi penekanan kepada pemantauan rondaan serta pemeriksaan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kemalangan khususnya melibatkan pengangkutan awam.


Artikel Berkaitan