• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tujuh Syarikat Bantu Selesai Krisis Air

KUALA NERUS, 5 Ogos - Syarikat air dari tujuh buah negeri akan menghantar 14 lori tangki dengan kapasiti 70,000 liter air bagi membantu penduduk Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang terjejas bekalan air.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu, Burhanuddin Helmi Mohamed, syarikat air berkenaan terdiri daripada Air Kelantan (AKSB), Syarikat Air Selangor (SYABAS), Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka (SAMB), Pengurusan Air Pahang (PAIP), Syarikat Air Johor (SAJ) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA). 

Menurutnya lagi, SATU sudah bersedia dengan lapan lori berkapasiti 5,000 liter yang akan menghantar bekalan air kira-kira 40,000 liter air ke kawasan yang ditentukan.

“Bantuan ini sebenarnya selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) antara operator dan permintaan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), dengan erti kata jika berlaku krisis air antara negeri, kita akan turun membantu" katanya ketika dihubungi baru-baru ini. 

Gangguan bekalan air di sekitar Kuala Nerus bermula sejak Ahad lalu apabila paip berukiran 1200mm dasar sungai Terengganu pecah yang mengakibatkan 28,700 akaun pengguna terjejas. 

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya telah menyediakan 40 tangki statik berkeupayaan 600 gelen setiap satu dan telah menyalurkan 295,500 liter air dengan bantuan pihak Bomba dan SATU. 

"Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus telah mengambil langkah awal dengan meninjau lokasi yang teruk terjejas diantaranya di DUN Buluh Gading dan DUN Tepoh.

"Pihak kita juga sentiasa memantau bekalan air di setiap pusat supaya air yang disalurkan sampai kepada rakyat.

"Kita juga berterima kasih kepada Unit Amal dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana banyak membantu melancarkan proses agihan air tanpa menyusahkan rakyat untuk beratur bahkan kita hantar air rumah ke rumah bagi memudahkan mereka" kata Dr Khairuddin ketika dihubungi.