• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tukun Sotong, 'Lobster' Dilabuh di Pulau Kapas

MARANG, 17 Oktober - Sebanyak enam daripada 10 tukun tiruan X-to-Reef yang direka bentuk untuk spesies marin sotong dan lobster selamat dilabuhkan di perairan Taman Laut, Pulau Kapas manakala empat lagi akan dilabuhkan di negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata tukun tersebut terdiri daripada tiga tukun untuk spesies sotong dan tiga tukun untuk spesies lobster.

Katanya, kesemua tukun tersebut hasil sumbangan Petronas dan Syarikat Sumitomo Corporation yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun.

“Tukun X-to-Reef ini ialah salah satu projek berkonsepkan 'circular economy' dimana hayat kitaran sesuatu bahan atau produk dipanjangkan untuk kelestarian alam sekitar.

“X-to-Reef adalah pengubahsuaian paip besi dasar laut milik Petronas yang akan dilupuskan tetapi diguna semula untuk dijadikan tukun tiruan yang berperanan sebagai perumah kepada sumber hidupan marin di lautan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Program X-To-Reef di Perairan Pulau Kapas bertempat di jeti pelancongan Marang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.

Tambah Dr Azman, projek itu merupakan kali pertama diadakan di Malaysia yang melibatkan gabungan kepakaran dua negara iaitu Malaysia dan Jepun.

Tambahnya, reka bentuk tukun tiruan tersebut adalah berdasarkan piawaian ‘standard’ pembuatan yang boleh bertahan di dalam air sekurang-kurangnya selama 30 tahun.

“Reka bentuk tukun ini juga adalah berdasarkan pengalaman pihak Nippon Steel-Kobelco (NSK) (Jepun) di perairan Jepun.

“Kos keseluruhan dalam pembuatan 10 unit struktur tukun tiruan ini adalah berjumlah RM2.1 Juta," katanya.

Beliau berkata, dengan pecahan kos peruntukan sebanyak RM1.2 Juta daripada pihak SC Tubular Solutions Malaysia Sdn Bhd (SCTSM) dan RM900,000 daripada pihak Petronas Malaysia.

“Projek kerjasama ini antara DOF-SC Tubular Solutions Malaysia Sdn Bhd (SCTSM) dipersetujui seperti yang dinyatakan dalam Surat Kerjasama Rakan Strategik DOF-SCTSM bertarikh 19 Jun 2023.

“Kerjasama khusus untuk projek yang sedang dijalankan iaitu ‘X-To-Reef Proof of Concept’ (X-to-Reef POC) di perairan Taman Laut Pulau Kapas, Terengganu dan Pulau Sibu, Johor berdasarkan konsep daripada SCTSM. 

“Kerjasama ini adalah antara ketiga-tiga pihak yang terlibat iaitu DOF. PETRONAS dan SCTSM.

“SCTSM adalah anak syarikat Sumitomo Corporation yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun serta syarikat ini juga terlibat dalam industri minyak dan gas,” ujarnya.