• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Tulisan Jawi Harus Dipelihara



Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 12 Ogos - Tulisan jawi pernah menjadi tulisan perantaraan diseluruh nusantara termasuk di beberapa negara Asia pada zaman dahulu dan tulisan rasmi di negara ini pada satu ketika dahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata tulisan jawi harus dipelihara dan wajar dikekalkan dalam sistem pembelajaran agar ia tidak ditelan zaman.

“Tulisan jawi ini adalah lambang identiti kita sebagai orang melayu, orang yang memerintah negara ini tetapi kenapa tiba tiba ada pihak yang cuba menghapuskannya walau dengan cara halus,” katanya ketika ditemui media di tapak Korban Perdana di Surau Ustaz Omar Syukri, di sini hari ini.

Sebanyak 17 ekor lembu dikorbankan sempena Majlis Korban Perdana yang berlangsung di perkarangan surau tersebut.


Tambahnya, menerusi hasil kajian sejarah yang menemukan tulisan Jawi, ia antara tulisan terawal yang ditemui di Tanah Melayu, iaitu pada 1303 Masihi menerusi penemuan Batu Bersurat di Terengganu, berbanding penemuan bahasa rumi yang hanya ditemui pada lewat kurun ke-19.

Malah menurutnya lagi, perjanjian penting antara Raja-Raja Melayu dengan Portugis, Belanda dan Inggeris seperti perjanjian antara Stamford Raffles dengan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pengisytiharan Merdeka 1957 juga ditulis menggunakan skrip tulisan Jawi.

Beliau yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri turut melahirkan kebimbangan akan generasi sekarang dan akan datang dimana tidak mengenali tulisan warisan nenek moyang mereka itu.

“Perkara ini sangat membimbangkan kerana ramai dikalangan anak muda sekarang tidak dapat membaca jawi, buktinya apabila diminta baca AlQuran, dia tidak dapat membacanya,” ujarnya.

Terdahulu, Cikgu Wan Hapandi dalam ucapannya, melahirkan rasa syukur kerana pihak surau menerusi kakitangannya serta orang ramai hadir bergotong royong melaksanakan ibadah yang dituntut oleh Allah Taala ini.

“Walaupun pada tahun ini lembu korban adalah lebih sedikit jika dibandingkan dengan tahun lalu dan tahun-tahun sebelummya namun ia bukanlah ukuran jika dilihat dari soal kuantiti tetapi pengorbanan yang kita lakukan itu akan dinilai Allah Taala.

“Pada hari akhirat nanti, binatang yang telah dikorbankan akan menjadi saksi terhadap amalan ketaatan yang telah dilaksanakan," ujarnya.


Tag: