KUALA TERENGGANU, 8 Disember – Rundingan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan FELDA menunjukkan perkembangan yang semakin positif selepas melalui beberapa siri perbincangan susulan notis amaran dikeluarkan kerajaan negeri baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu juga, Kerajaan Negeri turut bersetuju tempoh remedi dalam notis kesalahan bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dilanjutkan sehingga 7 Januari 2026.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia memaklumkan bahawa sepanjang tempoh lanjutan ini, perbincangan untuk memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diteruskan secara lebih terperinci.
Seiring itu juga kata beliau, Kerajaan Negeri turut memberi kelonggaran kepada FGV untuk menyambung operasi semua ladangnya di Terengganu serta-merta.
“Merujuk kepada isu tuntutan Kerajaan Negeri Terengganu terhadap tanah milik kerajaan yang dimajukan sebagai ladang komersial oleh FELDA/FGV, sukacita dimaklumkan bahawa selepas penyampaian notis bagi kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN dilaksanakan, Kerajaan Negeri telah meneruskan beberapa siri rundingan bersama Pengurusan Tertinggi FELDA bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit.
“Melihat kepada perkembangan positif hasil rundingan tersebut, Kerajaan Negeri meyakini bahawa siri rundingan seterusnya akan diteruskan sehingga berjaya mencapai persetujuan yang dapat dimuktamadkan antara Kerajaan Negeri dan FELDA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, notis di bawah Seksyen 425 KTN itu akan ditarik balik sebaik sahaja perjanjian akhir dimeterai antara Kerajaan Negeri dan FELDA.
“Semoga penyelesaian ini membawa manfaat bersama kepada kedua-dua pihak,” ujar beliau.