• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

UC TATI Diiktiraf 5 Bintang Setara 2019

KEMAMAN, 27 Disember – Kolej Universiti TATI (UC TATI) menjadi Institusi Pengajian Tinggi ( IPT) pertama dalam negeri yang berjaya mendapat pengiktirafan 5 bintang Setara 2019 di bawah kategori Kolej Universiti berdasarkan kriteria pencapaian akademik dan penyelidikan, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha kakitangan dan pelajar secara bersama.

“Setinggi tahniah buat Rector TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan seluruh kakitangan dan mahasiswa terlibat dalam memberikan komitmen tinggi dan semoga momentum ini diteruskan," katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UC TATI.

Sementara itu, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, penilaian tertinggi pernah dicapai UC TATI dibuat oleh Price Water Housing Cooper (PWC) yang bertaraf antarabangsa.

“Kriteria markah tersebut dinilai dari segi pencapaian pengajaran, pembelajaran dan pencapaian dan kebolehpasaran para alumni dan graduan.

“Selain itu, pencapaian pensyarah kita juga berjaya menjulang anugerah di peringkat antarabangsa dari segi kertas journal dan penyelidikan seperti penghasilan sendiri ‘Big Data’ dan pembangunan prototaip kapal selam dasar lautan.

“Matlamat masa hadapan supaya kita mencapai skor penilaian paling tinggi iaitu enam bintang,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, seramai 23 orang kakitangan UC TATI telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala enam orang lagi menerima Anugerah Khidmat Setia (AKS) atas khidmat 20 tahun.

“Dalam pada itu, UC TATI turut menghargai pencapaian kakitangan dalam bidang penyelidikan dan Inovasi. Seramai lima orang kakitangan telah menerima Anugerah Penerbitan Cemerlang dan 17 orang menerima Anugerah Inovasi Cemerlang.

“Kejayaan penyelidikan mereka ini telah banyak membantu menaikkan nama UC TATI dalam bidang penyelidikan dan inovasi sebaris dengan IPT terkemuka di negara ini,” katanya.