• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

UC TATI Sedia Jalin Kerjasama Dengan Agensi Luar


KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Kerajaan negeri melalui Universiti College (UC) TATI mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk agensi atau syarikat swasta untuk mengadakan kerjasama bagi memperkasakan UC TATI dalam industri dan modal insan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Universiti College (UC) TATI dan Elvira System Sdn Bhd menjadi satu contoh usaha terbaik dalam memperkasakan kedua-dua pihak.

“Ini bukan kali pertama kerjasama dilakukan dengan syarikat luar dan pihaknya mengalu-alukan jika ada syarikat-syarikat atau agensi-agensi yang ingin bekerjasama kerana maklumat dan bidang teknologi sentiasa berkembang dari semasa ke semasa.

‘’UC TATI juga membuka ruang kepada pakar-pakar industri untuk bersama-sama bagi berkongsi pengalaman mereka bagi menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dengan kerjasama yang akan kita lakukan.

‘’Kita juga akan memberi sokongan bagi kempen menggalakkan pelajar-pelajar kita memilih bidang sains dan teknologi di UC TATI  bagi menaikkan kadar bilangan pelajar di sana," ujarnya.

Satiful yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UC TATI berkata demikian di sidang media selepas Majlis Pelancaran Biasiswa UC TATI dan Majlis Menandatangani MOU antara UC TATI dan Elvira System Sdn Bhd di Dewan Rebana 5, Primula Beach Hotel.

Turut hadir, Rektor TATI University College, Profesor Dr Anuar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Elvira System Sdn Bhd, Mohd Farid Zainal Abidin.


Jelasnya, bagi pihak UC TATI, MOU berkenaan boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan mendapat pendedahan awal di industri ketika cuti semester dan juga ketika menjalani Latihan Industri.

Sementara itu industri pula boleh memanfaatkan kepakaran UC TATI dalam perundingan dan penyelidikan.

"Sebagai contoh, dengan perubahan arus teknologi masa kini dan berkembangnya Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), wujud keperluan untuk industri membuka lebih banyak makmal penyelidikan dalam kampus.

"Dan seterusnya membawa lebih ramai tenaga pakar industri untuk bekerjasama dengan tenaga akademik dan pelajar dalam menghasilkan inovasi baharu," ujar beliau.


Sementara itu, UC TATI turut mengumumkan biasiswa sejumlah RM4.4 juta kepada pelajar baharu kemasukan April, Julai dan September 2020 yang ditambah baik dengan kadar peningkatan kadar peruntukan sebanyak RM1.3 juta.


Tag: