• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

UKOM Dijenamakan Semula Kepada UPDI


Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) yang merupakan jentera penggerak media rasmi kerajaan negeri akan dijenamakan semula berkuatkuasa 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia yang bakal dikenali sebagai Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) akan terus berperanan menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan negeri dan kepemimpinan kepada rakyat.

“Kita hanya mengubah nama UKOM kepada UPDI dan diharap seluruh jentera UPDI akan berperanan seperti mana biasa.

“Kita letakkan Darul Iman tujuannya untuk memperkasakan dan mengingatkan balik kepada rakyat Terengganu bahawa Negeri Terengganu ini adalah sebuah negeri yang dibina dengan asas yang kuat (Darul Iman),” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mesyuarat mingguan exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, pertukaran nama unit itu juga bagi menggambarkan pergerakan penerangan dibawah kerajaan PAS berasaskan iman bagi menjawab segala fitnah dan memberi penjelasan sebaik mungkin kepada masyarakat berkaitan sesuatu isu mahupun dasar-dasar kerajaan.

Katanya, pensyarah Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) Manir Mohd Soud Said  akan dilantik sebagai sebagai pengarah UPDI bermula 1 Julai ini.

Dalam perkembangan lain katanya, kerajaan negeri di bawah portfolio yang dipengerusikan beliau juga akan menubuhkan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) bermula tarikh yang sama.

“Kita telah bersepakat untuk menubuhkan satu agensi kerajaan yang akan melaksanakan semua polisi dan dasar kerajaan sehingga sampai ke kampung-kampung.

“Dalam erti kata lain, institut ini juga berperanan membina modal insan yang ada diseluruh negeri Terengganu samada belia, beliawanis dan seluruh lapisan masyarakat berasaskan prinsip Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya.

Tag: