• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Umat Islam Mesti Kuasai Teknologi Kewangan

DUNGUN, 29 November -  Umat Islam mesti menguasai teknologi kewangan (fintech) agar dapat dimanfaatkan dalam urusan seperti wakaf, zakat dan sedekah.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, seiring dengan perkembangan teknologi kewangan ini, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk beradaptasi dan menyesuaikannya dengan keperluan muamalah agar tidak ketinggalan.

"Perkembangan teknologi kini menjadikan semakin banyak aspek kehidupan kita dapat dilaksanakan secara maya termasuklah pelabagai bentuk transaksi kewangan," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembangunan Waqaf Digital, yang diadakan di Mayang Sari Resort di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Hassan, Revolusi Perindustrian 4.0 telah memperkenalkan istilah 'financial technology' atau singkatannya 'fintech' yang akan bersaing dengan kaedah transaksi kewangan konvensional dalam penyampaian perkhidmatan kewangan.

"Ilmu - ilmu empat serangkai ABCD iaitu Artificial intelligence, Blockchain, Cloud computing, dan Big data yang merupakan empat aspek utama fintech.

" Walaupun ilmu dan teknologi ini dipelopori bukan Islam, ingatlah Islam telah mengajarkan kepada kita bahawa hikmah atau kebijaksanaan itu adalah barangan yang tercicir dari tangan mukmin di mana saja kita menemukannya, maka kita berhak mengambilnya untuk kemaslahatan umat, 

"Kini terdapat platform pendanaan alternatif ini yang selain memastikan platform mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti, mereka turut berusaha mengambil langkah lebih terkehadapan iaitu mendapatkan pengesahan kepatuhan syariah." jelasnya.


Tag: